Pengikut

Rabu, Januari 12, 2011

Pangi : Bukit Cook ?

Bukit Cook dari Teluk Pangi

Sedang saya asyik membelek-belek sebuah buku lama di sebuah perpustakaan, tiba-tiba saya tertarik dengan sebuah buku yang di dalamnya terselit satu lembaran lukisan peta 'Teluk Darvel' yang tarikhnya saya kurang jelas dan mata ini terus melirik ke kawasan yang kita kenali pada waktu ini sebagai 'Kunak'. Jelas tiada nama Kunak yang saya temui. Mostyn juga tiada...tapi satu nama betul-betul dekat dengan kawasan Kunak pada masa ini, dan ia adalah sebuah bukit yang berada di Mukim Pangi pada waktu ini, lebih kurang 5 Kilometer dari Pekan Kunak.

Bukit Cook...?, asing bunyinya dan seingat saya masyarakat setempat tidak perna sekali menyebut perkataan asing itu jika mengajuk kearah bukit tersebut, melainkan mereka hanya menggelarnya sebagai Bukit Pangi atau Sibalu. Jadi dimana pula datangnya nama bukit Cook ini dan siapa pula yang memberinya nama seasing ini ?. Hati ini mula menimbulkan persoalan demi persoalan dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk membuat sedikit homework berkaitan bukit ini dan testimoni awal saya adalah seperti berikut.

Pada tahun 1880-an Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU) mula bertapak di Sabah pada ketika itu, dan selang beberapa tahun kemudian satu ekspidisi telah mula dilakukan oleh pihak syarikat di sepanjang Teluk Darvel bagi membuat tinjauan dan pemetaan awal berhubung dengan pemilihan satu tapak awal bagi tujuan pusat pentadbiran di kawasan ini dan Silam adalah tempat yang mereka pilih.

HMS Zephyr

Pada 1887 Gabenor W.M. Crocker, Keptan Beeston dan Alexender Cook telah membuat perjalanan pulang dari Semporna dengan menggunakan Kapal HMS Zephyr walaupun pada asalnya mereka menaiki Kapal Kimanis dari Sandakan ke Silam dan seterusnya ke Semporna, akan tetapi oleh kerana perkhabaran bahawa laluan Kapal Kimanis di Omadal telah di serang lanun maka mereka membuat keputusan untuk pulang ke Sandakan dengan menggunakan Kapal Perang HMS Zephyr untuk tujuan itu dan laluan yang mereka pilih adalah selat Sipit yang terletak diantara Pulau Timbun Mata dengan Sigarong.

Dalam Perjalanan itu mereka menggambarkan kawasan itu sungguh indah dengan deretan pokok-pokok bakau yang bersaiz besar dan gunung-ganang yang diseluputi oleh pohonan hutan yang menyeramkan disamping kecauan burung yang membingitkan telinga. Berdasarkan pemerhatian, peta yang menunjukkan adanya nama Bukit Cook itu adalah selepas peristiwa keberangkatan rombongan Gabenor W.M. Crocker, Keptan Beeston dan Alexender Cook yang membuat perjalanan pulang, jadi saya mengandaikan bahawa nama bukit tersebut adalah diambil sempena nama Alexender Cook.

Alexender Cook adalah seorang setiausaha SBBU yang mengiringi Gabenor Crocker dalam pentadbirannya di Sandakan dan Teluk Darvel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hanya pengulas/pengomen yang berdaftar dan menyatakan nama sahaja yang akan dibenarkan mengulas/mengomen di ruangan ini dan semua ulasan adalah tanggungjawab si pengulas sendiri, pihak blog adalah tidak bertanggujawab sama sekali..

Related Posts with Thumbnails