Pengikut

Rabu, Disember 23, 2009

BAGANG BUGIS KUNAK

GELAP pekat malam di Teluk Darvel, Laut Sulawesi berhampiran pantai Kunak, Sabah dihiasi cahaya lampu bulat yang dijana melalui jana kuasa 16 kuasa kuda.

Perairan kira-kira enam batu nautika dari jeti di pantai Kunak seolah-olah pesta yang dilimpahi cahaya lampu dari puluhan kelong atau lebih dikenali sebagai `bagang' di kalangan anggota masyarakat tempatan.
Pada jam 4 pagi, pemilik bagang, Siti Asiah Hamid yang berusia lewat 30-an sudah berada dalam perahu yang bergerak perlahan menuju bagang yang diwarisi daripada bapanya sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Setengah jam kemudian, ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga 14 tahun itu sudah memanjat tiang bagang untuk menjejakkan kaki di pelantar jongkong atau bot tanpa enjin sepanjang kira-kira 15.2 meter.
Empat pekerja yang diupah oleh Siti Asiah mengusahakan bagang itu sudah lebih awal berada di atas bagang. Sejurus sebelum mentari terbenam di ufuk barat kira-kira jam 6 petang, mereka sudah menurunkan pukat bagang.

Mereka masih lena diulit mimpi di atas pangkin yang dikepung dengan dinding papan yang mampu memuatkan kira-kira enam pekerja.

Jongkong diperbuat daripada kayu berlian yang tahan menerima hakisan air laut itu adalah struktur utama bagang. Di kiri dan kanan jongkong yang di tengahnya tercacak tiang kayu bintangor setinggi kira-kira 12.1 meter, dipasangkan kayu pemegang pukat yang disebut sebagai kayu gelegar sepanjang kira-kira 13 meter.

Dengan 120 batang gelegar, masing-masing 60 di kiri dan 60 di kanan jongkong, pukat yang diikat kemas padanya, berfungsi sebagai perangkap bilis, kembung, selayang, tulai, sotong, udang dan pelbagai jenis ikan lain.

Selepas menunaikan solat Subuh dan menjamah beberapa keping pisang goreng yang dibawa Siti Asiah dari rumahnya di Kampung Pengkalan, Kunak, empat pekerja mula menarik pukat dari hujung bagang.
Satu demi satu pukat diikat pada gelegar. Kocakan air laut menandakan bilis dan pelbagai jenis ikan lain berpusu-pusu mencuba melepaskan diri daripada pukat. Namun segala jenis ikan itu tidak mampu melepaskan diri dan terpaksa mengikut urutan pukat yang ditarik naik mengiring ke arah hujung pukat.

Segala hasil tangkapan itu dimasukkan terus ke dalam perut perahu yang sudah sedia menunggu di bahagian bawah bagang di hujung pukat.

"Hanya kami, orang Bugis yang mengusahakan bagang. Mungkin ada satu atau dua pengusaha bagang daripada etnik lain seperti Suluk dan Bajau. Kami sudah mengusahakan bagang secara turun- temurun sejak 1970-an lagi. Ketika itu nenek moyang kami menggunakan bot kecil.

"Sejak 1985, kami mula menggunakan jongkong. Untuk membina satu bagang sekarang memerlukan antara RM70,000 hingga RM90,000 kerana kayu berlian mahal. Jongkong tak ada enjin. Kalau nak gerakkan, kami tolak dengan perahu. Selalunya, kami berpindah-randah. Kalau di sini tak ada bilis, kami pindah ke tempat lain," ujarnya.

sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hanya pengulas/pengomen yang berdaftar dan menyatakan nama sahaja yang akan dibenarkan mengulas/mengomen di ruangan ini dan semua ulasan adalah tanggungjawab si pengulas sendiri, pihak blog adalah tidak bertanggujawab sama sekali..

Related Posts with Thumbnails