Pengikut

Isnin, Oktober 05, 2009

LAGENDA KESULTANAN MADAI BHG. II

Apatah lagi banyak sarang burung di dalam gua tersebut berbanding gua-gua sebelumnya. Gua Agup Gadong juga banyak sarang tetapi tidak mempunyai sumber air yang mencukupi dan agak gelap. Setelah melepaskan penat dan memakan daging babi yang dibunuhnya, Raja Apoi memulakan perjalanan pulang ke Bulud Temil kerana bimbang permaisuri akan mengarahkan rakyat menyusulnya. Lazimnya Raja Apoi akan keluar berburu selama beberapa hari sahaja tetapi kini hampir sepekan (minggu) berlalu. Dalam perjalanan pulang tersebut, Siud Rapod dapat menghidu se-ekor rusa yang terjerut tanduknya di akar kayu yang berjuntaian. Raja Apoi tidak membuang masa lalu menikam rusa jantan itu dengan sundang dan melapah perut rusa itu untuk mengambil hatinya. Jantung rusa itu diberikan kepada Siud Rapod yang mula kebuluran setelah hati babi yang dimakan di Gua Madai telah dihadamkan. Raja Apoi memotong sedikit daging rusa untuk bekalannya.

Raja Apoi berlari pantas mengikut jejak kakinya ketika datang dengan bantuan Siud Rapod kerana bimbang hati rusa akan rosak jika tidak segera dimasak, apatah lagi bimbang permaisurinya akan kecewa dan kempunan. Kepulangan Raja Apoi disambut gembira oleh seluruh rakyatnya. Pada malam itu Kerajaan Bulud Temil mengadakan pesta sempena meraikan kepulangan Raja Apoi dari berburu. Dalam titahnya yang serba ringkas, Raja Apoi mencadangkan agar mereka berpindah ke Gua Madai, gua terakhir yang menjadi tempat hilangnya Payau Mas dan merasakan tempat baru begitu selamat untuk didiami berbanding negeri mereka sekarang yang sering dilanda kemarau dan hujan ribut sehingga semua tanaman tidak menjadi. Raja Apoi mencadangkan agar mereka menternak babi dan menanam ubi kayu kerana banyak sarang burung di dalam gua tersebut yang menjadi makanan kegemaran babi dan tidak perlu membuat rumah disebabkan gua tersebut cukup luas untuk seluruh rakyatnya.

Sejak daripada itu pusat pemerintahan Kerajaan Bulud Temil berpindah ke Gua Madai dan ada beberapa orang rakyat Raja Apoi diarahkan menetap di Bulud Temil bagi memastikan tidak ada orang lain yang menceroboh istana raja dan mengkhabarkan kepada orang luar bahawa Kesultanan Bulud Temil masih berdaulat.

Mereka kemudiannya menamakan Bulud Temil sebagai Api-Api sempena bekas kaki Raja Apoi pada batu pejal (kini di dalam kawasan istana sekarang). Hiduplah Raja Apoi dan rakyatnya dengan aman damai di dalam Gua Madai sehinggalah Permaisuri Sulid Liud Langgi melahirkan Putera Munai Silong yang elok paras rupa dan bijaksana, mewarisi sifat Raja Apoi dan menggelarkan kerajaannya sebagai Kesultanan Madai. Tidak lama kemudian, Raja Apoi mangkat dan putera Munai Silong yang muda belia ditabalkan menjadi Raja Idahan II. Selepas Raja Munai Silong mangkat, anaknya Raja Melapas menaiki takhta. Kerajaan Idahan semakin kukuh dengan pertabalan Raja Abau dan seterusnya Raja Abdullah.

Raja Abdullah telah memeluk Islam dengan seorang makhdum di Luk Suban (Silam) yang terletak di bawah jajahan takluknya pada tahun 1408 dan menamakan kerajaannya sebagai Kesultanan Idahan. Kemangkatan Raja Abdullah membolehkan puteranya, Raja Gemerang meneruskan pemerintahan. Pemerintahan Raja Gemerang tidak lama apabila digantikan dengan Raja Gabag.

Raja Gabag telah menukarkan nama kerajaannya daripada Kesultanan Madai atau Kesultanan Idahan kepada Kesultanan Sabah sempena na-ma sebuah teluk, Luk Sabahan yang kaya dengan ikan dan batu karang beraneka warna. Kesultanan Sabah mula masyhur dan digahkan lagi dengan peribadi Raja Gabag yang tinggi ilmu batinnya sehingga menggerunkan kerajaan negara luar dan memerintah Sabah selama beberapa abad kerana usia Raja Gabag terlalu panjang disebabkan tidak pernah sakit. Raja Gabag jarang mandi dan kalau ia mandi tujuh hari sungai akan banjir. Memandangkan perniagaan sarang burung tidak begitu menguntungkan kerana sering diserang bajak laut atau lanun ketika dihantar ke China dan Kepulauan Sulu, maka Raja Gabag mengambil keputusan untuk memindahkan istananya ke Sungai Merendung (Silabukan) dan mengarahkan rakyatnya bertanam padi sawah dan huma.

Lokasi yang dipilih Raja Gabag amat strategik kerana dasar sungai tersebut dalam sehingga kapal besar boleh memudeki sungai se-hingga ke dermaga dan mula muncul sebagai pusat perdagangan terkemuka terutama di rantau Nusantara sehingga pernah disinggahi oleh pedagang China dan India. Kemasyhuran Kesultanan Sabah yang pusat pemerintahannya terletak di Tag Bangi, persimpangan tiga sungai iaitu Sengayun, Matamba dan Merendung. Pekan kecil berkembang dan tumbuh bagai cendawan yang bermula dengan Tag Bangi, Temunung Gagil, Lung Maniud, Litok Gimbang, Busug Niug dan Sengayun.

Semua pedagang mesti tinggal di dalam perahu dan hanya naik ke darat untuk berniaga. Selepas habis barang mereka mesti pulang. Pelabuhan Tag Bangi menjadi pusat perdagangan tukar barang terkemuka meliputi beras, padi, damar, sarang burung (hitam dan putih), gula, madu, gading gajah dan sumbu badak. Manakala pedagang luar menawarkan gong, kulintangan, tambur, emas suluk, kancing baju, keris, bujak dan pelbagai barangan seramik dan logam yang amat diminati oleh penduduk sekitar.

Sultan Sulu, Sultan Amil Umrah turut berlabuh di dermaga Tag Bangi dan menjalinkan hubungan dagang dengan Kesultanan Sabah. Namun Raja Gabag begitu tegas enggan membenarkan Sultan Amil Umrah mendirikan pondok tempat tinggal dan gudang untuk menyimpan barang dagangan di tepi Sungai Merendung sementara mereka berniaga.

Walaupun agak kecewa dengan layanan Raja Gabag yang enggan membenarkan angkatannya mendirikan pondok, namun Sultan Amil Umrah menganugerahkan gelaran 'Panglima' kepada Raja Gabag sebagai tanda perhargaan perhubungan dagang dua hala yang terjalin.Raja Gabag agak kecewa dan menganggap Sultan Amil Umrah me-rendahkan martabatnya sebagai raja dengan memberi gelaran 'Panglima' namun tetap menjalinkan hubungan baik demi memelihara kepentingan dagang. BERSABUNG......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hanya pengulas/pengomen yang berdaftar dan menyatakan nama sahaja yang akan dibenarkan mengulas/mengomen di ruangan ini dan semua ulasan adalah tanggungjawab si pengulas sendiri, pihak blog adalah tidak bertanggujawab sama sekali..

Related Posts with Thumbnails