Pengikut

Jumaat, Oktober 02, 2009

LAGENDA KESULTANAN MADAI

RAJA APOI bersemayam di sebuah istana yang diperbuat daripada kayu merbau dan belian. Istana tersebut terletak di atas sebuah bukit di Bu-lud Temil atau Bukit Sejuk (kini Kota Kinabalu) bagi memudahkan Raja Apoi mengawasi perjalanan keluar masuk kapal ke dermaga dan memantau pergerakan lanun.

Pada suatu hari Permaisuri Sulid Liud Langi mengidam dan terlalu ingin makan hati rusa lalu menyampaikan hasratnya kepada Raja Apoi. Memandangkan permaisurinya sedang mengandung anak sulung, maka Raja Apoi menyiapkan angkatan perburuan yang besar untuk mendapatkan rusa yang terbaik.

Namun Permaisuri Sulid Liud Langi meminta Raja Apoi berburu sendiri kerana bimbang keselamatan negeri mereka daripada ancaman bajak laut atau lanun jika semua pembesar mengiringi Raja Apoi berburu, apatah lagi permaisuri sedang sarat mengandung.

Para pembesar negeri gusar kerana Raja Apoi bersendirian berburu, namun tidak berani membantah kehendak permaisuri dan merasakan pendapat permasuri ada kebenarannya. Lagipun Raja Apoi diiringi oleh seekor anjing pemburu yang gagah, Siud Rapod.

Keesokan paginya ketika matahari memancar terang, seluruh rakyat Bulud Temil berkumpul di hadapan istana untuk mengucapkan selamat berangkat kepada raja yang mereka sanjung dan sayangi, Raja Apoi, berburu di rimba raya. Raja Apoi memberi nasihat kepada permaisuri agak menjaga kesihatannya dan berjanji akan lekas balik sebaik sahaja berjaya mendapatkan hati rusa yang diidamkan permaisurinya. Semasa ketiadaan Raja Apoi, adiknya Tengku Lenom akan memangku tugas Raja Apoi atas nasihat Permaisuri Sulid Liud Langi. Semua pembesar negeri menjunjung titah untuk taat setia kepada permaisuri dan pemangku raja.

Raja Apoi kelihatan gagah melangkah menuruni istana Bulud Temil dengan diikuti oleh Siud Rapod dan lambaian seluruh rakyat yang di bawah kuasa takluknya. Ada yang menangis dan ada yang memberikan kata-kata semangat kerana sepanjang pemerintahan Raja Apoi terlalu adil dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negerinya. Setelah sehari suntuk berburu, Raja Apoi belum menemui walau seekor rusa sedangkan tapak rusa berpeta di tanah yang becak kerana dibasahi embun dan hujan.

Raja Apoi berhenti rehat di tebing sungai dan menjamah makanan yang dibekalkan permaisurinya. Siud Rapod juga turut mengisi perut dengan bekalan berasingan yang dibawa bersama. Raja Apoi bersandar pada banir merbau yang menongkat langit. Lembingnya diasah lagi. Busur dan panahnya turut diperiksa rapi, manakala sundang di pinggangnya dicabut dan digosok dengan daun mempelas agar kelihatan berkilat. Tiba-tiba Raja Apoi terdengar salakan Siud Rapod yang nyaring di sebalik sebuah busut jantan berdekatan pokok merbau tempatnya bersandar. Raja Apoi bingkas bangun dan meluru ke arah Siud Rapod yang begitu berani menghampiri seekor rusa yang berbulu emas yang cuba menyerang Siud Rapod.

Raja Apoi cuba memanah rusa berbulu emas itu, namun menyedari dirinya dalam bahaya, rusa itu segera menghindar dan menyelinap di dalam hutan tebal. Anak panah yang dilepaskan terkena busut jantan. Siud Rapod segera mengejar rusa tersebut dengan pantas. Raja Apoi menuruti dari belakang dan berpandukan suara salakan Siud Rapod yang semakin lama semakin jauh namun Raja Apoi merapatkan jarak kerana biasa berlari pantas memburu di dalam hutan.

Beberapa kali rusa emas itu hampir tumbang terkena tujahan lembing Raja Apoi, namun rusa itu masih gagah terus berlari. Pada perkiraannya rusa yang sudah luka itu tidak akan berlari jauh dan akan tumbang apabila kehabisan darah. Namun sudah hampir dua hari mengikut jejak, rusa itu masih mampu berlari dan dikejar rapat oleh Siud Rapod yang begitu gagah memburu dan mengesan jejak. Raja Apoi agak terkejut kerana rusa tersebut semakin pantas berlari dan hanya berhenti sebentar di sebuah gua, Agup Gadong (Gomantong) yang dipenuhi sarang burung layang-layang putih dan hitam.

Seketika kemudian rusa emas itu berlari lagi dan menyelinap masuk ke Agup Batu Timbang sebelum berlari laju dan hilang di dalam kegelapan Agup Tapadong. Setelah lama menunggu di pintu gua akhirnya rusa emas itu dikejar oleh Siud Rapod sehingga ke Agup Bilo (Baturong).

Dari Agup Bilo, rusa emas semakin pantas berlari walaupun darah semakin banyak keluar. Ketika tiba di Agup Tegarung rusa tersebut sudah tercungap-cungap dan hampir rebah ketika Siud Rapod dapat menggigit kaki hadapannya. Namun rusa emas itu bertambah pantas sehinggalah sampai ke Agup Madai. Ketika Raja Apoi tiba, rusa emas sedang tercungap-cungap meminum air sungai Madai sementara Siud Rapod terjelepuk keletihan.

Terpinga-pinga Raja Apoi mendengar suara Payau Mas yang pandai berkata-kata sebelum hilang di dalam kegelapan gua. Siud Rapod tidak lagi mengejar, mungkin kerana terkejut mendengar suara rusa tersebut.Raja Apoi kecewa kerana gagal membunuh Payau Mas setelah menghabiskan banyak masa dan tenaga memburu rusa tersebut.

Namun agak gembira kerana semua gua yang dilaluinya kini menjadi miliknya sebagai galang ganti nyawa Payau Mas. Raja Apoi lebih menggemari Gua Madai kerana mengalir di dalamnya anak sungai yang jernih dan gua yang besar. BERSAMBUNG..........

Sumber: Mutalib M.D

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hanya pengulas/pengomen yang berdaftar dan menyatakan nama sahaja yang akan dibenarkan mengulas/mengomen di ruangan ini dan semua ulasan adalah tanggungjawab si pengulas sendiri, pihak blog adalah tidak bertanggujawab sama sekali..

Related Posts with Thumbnails