Raja Gabag bersikap pasif apabila enggan membenarkan pedagang dari Johor, Awang Alak Betatar, pedagang dari Johor yang cuba berlabuh di Pelabuhan Tag Bangi tanpa izinnya, apatah lagi Awang Alak Betatar enggan membenarkan perahunya diperiksa Syahbandar.Armada perang Raja Gabag mengejar perahu Awang Alak Betatar sehingga ke Pulau Sidungul (Semporna). Merasakan keselamatannya terancam, Awang Alak Betatar belayar ke Kepulauan Sulu dan mendapatkan perlindungan di Istana Sultan Sulu. Awang Alak Betatar bertemu jodoh dengan saudara perempuan Sultan Sulu. Tidak lama kemudian meneruskan pelayaran dan menemui sebuah kawasan strategik dan mendirikan kerajaan di sana, Kesultanan Brunei dan menggelarkan dirinya Sultan Mohammad 1 pada tahun 1472 sebelum seorang mubaligh Islam, Syarif Ali dari Taif menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Berkat.
Dendam Awang Alak Betatar yang dihalau oleh Raja Gabag dari berlabuh di Tag Bangi diwariskan kepada keturunannya yang mendirikan Kesultanan Brunei. Dendam tersebut semakin memuncak apabila berlaku perang saudara di antara Sultan Mubin dengan keluarga Sultan Mahyudin di antara tahun 1661 hingga 1704 dan Sabah yang tidak pernah terletak di bawah jajahan takluk Kesultanan Brunei telah diserahkan kepada Sultan Sulu sebagai membalas jasa Betara Suluk yang meleraikan perang saudara itu. Raja Gabag amat marah mendengar berita itu, namun enggan mengiktiraf penyerahan wilayah tersebut yang menjadi jajahan takluknya, namun tidak meneruskan niatnya untuk menghancurkan Kesultanan Sulu dan menghapuskan cucu cicit Awang Alak Betatar yang dianggapnya sebagai lanun.
Apatah lagi ketika itu baginda terlalu sibuk mendalami ilmu kebatinan dan memerintah Tag Bangi yang semakin terkenal sebagai pelabuhan terkemuka sehingga hampir menjadi pelabuhan persinggahan pedagang China dan Timur Jauh.
Perlantikan Joseph W Torrey sebagai 'Maharaja Borneo' oleh Sultan Abdul Meumin (Sultan Brunei ke 24) tidak langsung menarik minat Raja Gabag kerana merasakan perlantikan tersebut seperti kanak-kanak kecil bermain 'Pengantin-pengantin' kerana mereka tidak ada hak untuk melantik seseorang dan mencampuri urusan dalaman Kesultanan Sabah. Apatah lagi Raja Gabag tidak mengiktiraf Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu yang diasaskan oleh para lanun dan hukum rimba. Sultan Brunei dan Sulu yang menyimpan dendam kerana tidak berpuas hati dengan layanan Raja Gabag mencari pelbagai helah untuk menarik perhatian Raja Gabag ke kancah peperangan kerana segala perlakuan mereka selama ini hanya dipandang sebelah mata oleh Raja Gabag.
Tag Bangi yang selama ini aman damai tiba-tiba gempar oleh sekumpulan lanun yang mengganas merompak padi para petani di Ulu Sungai Merendung. Semua tujuh perahu lanun sarat dengan muatan padi yang baru dituai. Para petani bertempiaran lari menyelamat diri daripada dibunuh oleh lanun yang kejam. Beberapa orang segera ke istana melaporkan peristiwa ini kepada Raja Gabag."Biarlah. Kamu baliklah dulu," kata Raja Gabag ringkas kepada wakil petani yang menjadi mangsa lanun.
Raja Gabag lalu turun ke Sungai Merendung dan membawa rotan saga di dalam perahunya lalu membentangkan rotan saga tersebut di antara Tag Bangi dan Lung Maniud merentas Sungai Merendung. Raja Gabag memasang 'Pantang Marau' dan selepas itu balik ke istana untuk berehat. Lanun-lanun tersebut hilang akal kerana sudah tujuh kali hilir mudek Sungai Merendung, namun tidak menjumpai jalan keluar, lalu ketua mereka merasa bagai dipanggil menghadap Raja Gabag di istana.
"Kenapa kamu mau jumpa saya", tanya Raja Gabag yang sudah mengetahui tujuan kedatangan ketua lanun tersebut."Tuanku, kami minta tolong, mau pulang tidak dapat. Sudah banyak kali mundar mandir tapi tidak jumpa jalan," ujar ketua lanun itu cuba berselindung.
"Saya tahu masalah kamu. Hantar balik barang yang kamu rampas kepada tuan punya, kemudian boleh pulang. Kali ini saya bebaskan kamu, tapi jangan buat lagi, " sindir Raja Gabag sehingga membuatkan ketua lanun itu ketakutan dan terkencing di dalam seluar.Setelah pasti semua padi telah dikembalikan kepada pemiliknya, Raja Gabag membuka ikatan rotan yang merentas Sungai Meren-dung, lalu kesemua lanun yang diupah oleh Sultan Brunei dan Sultan Sulu segera berkayuh laju meninggalkan para petani yang bersorak girang kerana mendapat balik hasil padi mereka yang dirompak lanun ganas tersebut.
Kegagalan lanun tersebut membuatkan Sultan Brunei dan Sultan Sulu mati akal kerana merasakan sukar untuk menumpaskan dan menakluki Kesultanan Sabah kerana Raja Gabag memiliki ilmu kebatinan dan firasat yang tinggi.
Beberapa serangan dan helah mereka telah dapat dipatah dengan mudah oleh Raja Gabag tanpa menitiskan walau setitik darah rakyatnya. Selain ilmu 'Pantang Marau' Raja Gabag turut mewarisi ilmu 'Sumpak Tumbaga' bagi mengawal keamanan dan memastikan kerajaannya ditakuti lawan kerana kehebatan ilmu batinnya. Raja Gabag tidak boleh menggunakan jari telunjuk sebarangan kerana ilmu 'Sumpak Tumbaga' akan membuatkan makhluk yang ditunjuk mati serta merta. Jika burung terbang, Raja Gabag hanya perlu menudingkan jari telunjuknya ke arah burung berkenaan, serta-merta burung tersebut jatuh dan terus mati. Raja Gabag terpaksa mengorbankan anaknya, Itin, sebagai pemantap ilmunya. Anak tunggal yang amat disayanginya terpaksa dikorbankan dengan menunjukkan anak kecil yang baru pandai bertatih dengan jari telunjuknya sebagai syarat pengijazahan ilmu jurus maut tersebut. Bagi mengekalkan ilmu tersebut di dalam tubuhnya, Raja Gabag terpaksa memakan sedikit kepala tahinya dan tujuh ekor anak tikus yang masih merah.
Raja Gabag turut mengamalkan ilmu 'Gerudom' iaitu ilmu kebal, kuat dan boleh hidup dua alam; ilmu 'Surui Barang' yang menggunakan mengkarung untuk menghantar penyakit atau sihir; Umpod; Bilik; Gapun dan Antak Sekali yang menjadikannya hebat, kebal, panjang usia dan ditakuti lawan. Walaupun Raja Gabag beragama Islam, tetapi hanya bersembahyang dua kali setahun iaitu sunat Aidilfitri dan Aidil Adha, namun tidak pernah meninggalkan puasa.
Agak malang bagi Raja Gabag kerana ketinggian ilmu batinnya tidak dapat menjamin kebahagiaan di akhirat apabila mayatnya tidak diterima bumi ketika disemadikan di tanah perkuburan Islam Tag Bangi setelah memerintah Tag Bangi selama beberapa abad, hampir menandingi tempoh pemerintahan Firaun selama 400 tahun.
Jasad Raja Gabag yang tidak diterima bumi menjadi batu hitam dan anehnya batu tersebut boleh bergerak dan 'Pandai mandi' di Sungai Merendung. Setiap kali batu tersebut turun ke sungai, tidak ada orang yang berani mandi di hilir sungai kerana akan mendapat penyakit yang membawa maut. Air sungai akan menjadi seperti air 'Kopi O' yang hanya hilang dan diikuti oleh banjir besar selama tujuh hari. Batu Hitam Lembaga tubuh Raja Gabag yang bertapa di Ulu Sungai Silabukan setelah mayatnya tidak diterima bumi dan sering berpindah randah. Hanya suku sakatnya sahaja yang berpeluang menemui batu tersebut atau seseorang yang tidak mempunyai niat sering terserempak dengan batu tersebut yang akan bergerak memasuki air sungai jika ada yang menegurnya. Kalaulah Raja Gabag masih hidup kempunanlah orang luar mahu bertapak di Sabah!
Hanya sepupunya, Siti Rahimin dan Siti Jalailan yang boleh memegang batu hitam lembaga Raja Gabag. Jika orang lain yang menyen-tuh batu hitam tersebut akan mati serta merta. Kini batu hitam tersebut berpindah sendirinya ke hulu Sungai Silabukan dan sudah jarang ditemui. Namun jika orang Idahan berhasrat untuk ke tempat batu tersebut 'bertapa' sungai berkenaan akan banjir sehingga batu itu ditenggelami air dan tidak lagi kelihatan. Kemangkatan Raja Gabag mengakhiri Kesultanan Sabah kerana tidak ada waris yang ditinggalkan untuk meneruskan kerajaan tersebut. Rakyatnya mengambil keputusan berpindah ke Luk Penok (Tabanak), Sapagaya, Bikang, Binuang, Segangan dan Terusan. Kemunculan Pelabuhan Bikang turut menarik pedagang menukar haluan dagang daripada Sungai Merendung ke Sungai Longuap di Bikang. Ketika itu Lahad Datu hanyalah sebuah kampung nelayan yang dinamakan sebagai KERUGAU kerana terdapat batu karang dan tersorok oleh pulau dan berpaya bakau yang berlumpur. Kebanyakan orang Idahan mula kembali ke Madai untuk mengutip sarang burung kerana permintaan barangan berkenaan terlalu tinggi dari negara China dan Filipina.Dua tahun selepas kemangkatan Raja Sabah yang terakhir, Raja Gabag, Sabah telah menjadi tanah jajahan Inggeris pada 28 Januari 1878 kerana Sultan Sulu, Sultan Jamalul Alam, yang tidak tahu malu dan bermuka penyangak telah 'Menggadaikan' Sabah kepada British North Borneo Company yang diwakili oleh Alfred Dent dan Baron Gustave Von Overback tanpa sebarang tentangan daripada orang Idahan dan waris terdekat Raja Gabag yang ketika itu sibuk dengan sarang burung di Gua Madai.
Berita kemangkatan Raja Gabag telah tersebar luas, sehingga menarik ramai peniaga luar datang ke Sabah terutama ke Semenanjung Silam dan Kinabatangan. Orang China, Hong Kong, Taiwan dan Jerman mula memasuki Sabah secara meluas kerana selama ini Raja Gabag mengamalkan 'Dasar Pintu Tertutup' untuk bangsa asing, melainkan untuk berdagang atau singgah mengambil bekalan air. Maka bermulalah era penghijrahan secara besar-besaran oleh orang asing ke Sabah. Terbuktilah ketokohan Raja Gabag yang selama ini amat ditakuti oleh orang asing kerana selepas kemangkatannya, Sabah terus dibolosi dan didatangi penjajah sehingga negeri yang dahulunya bertuan kelihatan seperti sebuah pulau tanpa penghuni dan dibahagikan sesuka hati sesama mereka.
Pedagang Jerman, Tuan Ringgit membawa masuk orang Dusun (Kadazan) dari Kalimantan (Indonesia) untuk penanaman tembakau di Sungai Melian (Kinabatangan) yang kemudiannya berpindah ke Sungai Tapadong (Segama) apabila berlaku banjir besar di Sungai Melian sebelum bertebaran ke seluruh pelusuk Sabah. Manakala orang Brunei yang berasal dari Johor belayar dari Brunei ke Sabah dengan perahu layar dan mendarat di Karambunai sebelum mendiami kawasan pesisir pantai Papar sehingga ke Labuan. Kedatangan dua orang bajau, Empat Mata dan Kiat Kulug di Pulau Sidungul (Semporna) dari Filipina disertai kemudiannya oleh beberapa orang Suluk dan Irranun. Ini diikuti oleh seorang Tidung, Betaur, yang kemudiannya berkahwin dengan Jin Sabah di Sungai Sibuku. Terakhir sekali kedatangan orang Kokos dari Cocos Island (Australia) yang dibawa oleh Tuan Ross (British) untuk industri membuat jut dan Manila hem. Pulau Kokos dipindahkan pentadbirannya daripada Kerajaan Ceylon kepada Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka & Singapura) pada tahun 1886 yang diikuti oleh Labuan pada tahun 1887. Kokos terletak di bawah pentadbiran Singapura, namun pada tahun 1955, pentadbiran Pulau Kokos diserahkan kepada Kerajaan Australia.
Penemuan beberapa barang purba di Rancangan Seberang, berdekatan Sungai Silabukan pada sekitar tahun 1996 membuktikan kewujudan Kerajaan Tag Bangi, terutama keris bersarung emas tulen dan rentaka serta barang lain yang bernilai. Namun pembukaan kawasan Tag Bangi sebagai ladang kelapa sawit oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah pada sekitar tahun 1976 oleh Kerajaan Berjaya telah banyak merosakkan artifak dan peninggalan sejarah melainkan barangan purba yang tertanam di perut bumi. Kini masyarakat Idahan merupakan masyarakat minoriti yang tersepit dan dipinggirkan di celah kepesatan gelombang penghijrahan orang asing seperti nasib Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang tenggelam di tengah-tengah kelompok 'Melayu Pendatang' daripada luar.
Terdapat satu jalinan rapat di antara Kesultanan Sulu dengan kaum Idahan yang terjalin sejak Raja Abdullah memeluk Islam sehinggalah kini, walaupun agak hambar di era pemerintahan Raja Gabag. Sesetengah pengkaji sejarah berpendapat tanpa hubungan dengan Kesultanan Sulu mungkin orang Idahan masih belum beragama sehingga kini. Sejak itu orang Idahan tidak boleh dipisahkan dengan orang daripada Kepulauan Sulu berketurunan Suluk atau Tau-Sug. Berlakulah perkahwinan campur yang memindahkan keturunan Suluk kepada Idahan yang bergelar Datu, gelaran Kepahlawan Kesultanan Sulu.
Belum ada perangkaan rasmi bilangan kaum Idahan tulen yang juga digelar Buludupie, Sabahan, Iraqan, Eraan dan Orang Sungei yang membawa maksud pagan atau tidak beragama oleh generasi ter-dahulu dan masyarakat nusantara. Tetapi apabila Raja Abdullah memeluk Islam mereka digelar Idahan. Manakala yang masih kekal pagan dinamakan Begahak, Subpan dan Sungei. Bagaimanapun bancian rambang yang dibuat oleh beberapa pihak berdasarkan isi rumah yang belum dapat disahkan, jumlah kaum Idahan kini tidak sampai 3,000 orang lagi. Perkahwinan campur sedikit sebanyak mengikis perlahan-lahan suku bangsa yang pernah memerintah Sabah.
Bagaimanapun jurai keturunan kahwin campur berkenaan terus diasimilasikan dan diiktiraf sebagai pewaris yang sah walaupun tidak dapat dikenalpasti faktor darah ataupun DNA.Taburan penduduk kaum Idahan dan sekutunya (hasil kahwin campur) berceretek di sepanjang Kampung Sapagaya, Kampung Tabanak, Kampung Binuang, Kampung Segangan, Kampung Bikang, Kampung Terusan, Kampung Dewata dan Kampung Segama Batu 8 di Lahad Datu.
TAMAT
Lebih 100 raikan Hari Keluarga Pasti An-Nadwah
-
SEMPORNA : Seramai 122 orang hadir dalam meraikan Hari Keluarga anjuran
Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) An-Nadwah Kunak, yang diadakan di sebuah
pusat r...
4 tahun yang lalu
terima kasih kerana info ini.menarik.saya ini rakyat sabah...tapi tidak tahu akan cerita ini.apakah boleh dibukukan? kalau dibukukan berserta bukti2 tanpa mengira samaada jenis circumstancial atau physical atau apa sahaja...yang penting hal ini menarik utk diketahui
BalasPadammana sumber rujukannya bos??
BalasPadamAmy...dari "HIKAYAT RAJA SABAH" Written by Sabahkini Oleh: MUTALIB M.D
BalasPadamhahahahaha....lucu jugak crita M.D Talib ni....mula-mula mitos..pstu dah ada tahun pulak...hehehehe...pastu crita pasal kesultanan brunei dan sulu pulak...kahkahkah...dari kk sampai madai, fuh...lawak....
BalasPadamp/s cek suma tahun yang dia catatkan dalam tu.....hehehhe...