Pengikut

Isnin, Ogos 17, 2009

Pusat Sejadi Air Terjun Madai, Kunak

Air terjun setinggi 40 meter di Hutan Simpan Madai Baturong, 15 kilometer dari sini, kini menjadi satu daya tarikan pelancong ke daerah Kunak.

Air terjun berkenaan merupakan yang tertinggi antara banyak air terjun pusat rekreasi di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Sabah dan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 1999.

Air terjun yang terletak di dalam kawasan hutan simpan seluas 3,436 hektar itu mulanya cuma tapak rekreasi kakitangan Jabatan Perhutanan namun dibuka kepada orang ramai selepas ia dibangunkan dengan kos RM460,000.

“Pengujung ke sini bukan sahaja terdiri daripada orang tempatan tetapi juga dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Sepanyol, Kanada, Perancis, Korea Selatan, Jepun dan banyak negara lagi,” kata penyelia pusat berkenaan, Souzey Saiki, kepada Bernama.

Katanya selain berpeluang menikmati keindahan air terjun, pelawat dan pelancong juga berpeluang melihat keindahan pelbagai flora dan fauna yang terdapat di kawasan berkenaan.

“Yang terbaru ialah penemuan kawasan yang kami kenali sebagai Bukit Tongkat Ali, sejauh satu kilometer atau 20 minit berjalan kaki dari sini. Pokok Tongkat Ali di situ tumbuh seolah-olah ditanam walaupun sebenarnya ia tumbuh secara semula jadi,” katanya.

Kawasan rekreasi berkenaan juga menyediakan kemudahan “canopy walk” sepanjang 119 meter dan setinggi 40 meter merentasi sungai yang airnya berpunca dari air terjun berkenaan.Antara kemudahan yang terdapat di pusat rekreasi berkenaan ialah pusat maklumat, kantin, tandas awam, surau dan ruang letak kereta.

Pihak pengurusan juga menyediakan bilik-bilik penginapan untuk pengunjung yang ingin bermalam di pusat rekreasi berkenaan dengan dikenakan bayaran RM20 seorang untuk satu malam.Kira-kira 45 minit berjalan kaki dari pusat rekreasi berkenaan, pengunjung juga berpeluang melawat gua purba, yang mempunyai kesan pendudukan manusia lampau termasuk kubur dan keranda lama.
Sumber : Bernama adan Sabahkini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hanya pengulas/pengomen yang berdaftar dan menyatakan nama sahaja yang akan dibenarkan mengulas/mengomen di ruangan ini dan semua ulasan adalah tanggungjawab si pengulas sendiri, pihak blog adalah tidak bertanggujawab sama sekali..

Related Posts with Thumbnails